Isnin, 21 Mei 2012

10 Punca Komputer Rosak

Di sini saya senaraikan 10 cara pengguna merosakkan komputer mereka agar anda lebih sedar ketika menggunakan komputer

1. Tidak mengguna pelaras voltan automatik.

Ini merupakan salah satu tindakan yang boleh merosakkan komputer secara fizikal. Ramai yang berfikir bahawa komputer hanya dalam bahaya ketika ribut dan kilat, tetapi hakikatnya apa – apa yang mengganggu litar elektrik boleh menyebabkan peningkatan voltan. Sesuatu semudah membuka suatu peralatan elektrik yang bersambung kepada soket yang sama dengan komputer anda boleh menyebabkan berlakunya peningkatan voltan.

Anda boleh melindungi sistem anda daripada peningkatan voltan. Ini dapat dilakukan dengan memasang pelaras voltan automatik atau automatic voltage regulators (AVR). Untuk memberi perlindungan yang lebih baik, anda boleh dapatkan Uninterruble Power Supply atau UPS yang berkebolehan memberikan bekalan elektrik berterusan untuk beberapa minit sekiranya bekalan elektrik luar terputus dengan tiba – tiba. Masa tambahan ini dapat membantu anda menyimpan segala kerja yang sedang anda lakukan dan menutup komputer dengan selamat. UPS sudah semestinya lebih mahal dari AVR yang tiada fungsi bekalan berterusan ini.

2. Melayari Internet tanpa pelindungan firewall


Ramai pengguna komputer rumah menyambung komputer ke kabel telefon atau modem DSL dan terus melayari Internet, tanpa menyedari bahawa mereka sedang meletakkan komputer mereka dalam risiko diserang virus, spyware atau penggodam (hackers). Setiap komputer yang disambung ke Internet hendaklah dilindungi oleh perisian firewall.

Contoh firewall yang terdapat di pasaran adalah seperti KERIO atau ZONE ALARM, Windows juga mempunyai firewall yang sedia ada iaitu ICF/Windows Firewall. Firewall juga amat berguna kerana jika anda menggunakan laptop firewall akan tetap berada dengan anda jikalau anda membawa laptop anda ke tempat yang menawarkan perkhidmatan Internet tanpa wayar (wireless). Namun demikian, hanya memiliki firewall sahaja tidak mencukupi, ia patut dipasang dan diset dengan betul.

3. Tidak mengemas kini program antivirus dan anti-spyware

Memang tidak dapat dinafikan kebanyakan pengguna tidak sukakan perisian antivirus. Ianya bukanlah satu perisian produktiviti yang boleh kita gunakan untuk menghasilkan berbagai jenis dokumen kerja. Antivirus juga boleh menghalang program yang ingin dijalankan dari berfungsi baik. Anda mungkin perlu menyahaktifkan untuk memasang sesetengah perisian dan ianya perlu dikemaskinikan selalu untuk memberikan perlindungan yang sewajarnya. Pemasangan antivirus juga menyebabkan komputer menjadi berat dan perlahan. Tarikh langganannya amat pendek dan anda sering diminta bayar untuk terus menggunakannya. Apabila pengguna gagal membuat bayaran, antivirus gagal berfungsi dan menjadi satu kemudaratan kepada pengguna.

Namun dalam suasana kini, anda tidak boleh biarkan komputer anda tanpa perlindungan antivirus. Program – program yang dikesan oleh antivirus – yakni virus, trojan, worm dan sebagainya boleh membawa lebih banyak kerosakan dan kerugian masa serta wang berbanding dengan waktu menguruskan antivirus itu sendiri.
Spyware merupakan satu lagi ancaman yang semakin membesar, program ini akan memasang dirinya ke komputer anda (biasanya tanpa pengetahuan anda) dan mengumpul kesemua data dan maklumat mengenai komputer anda lalu menghantarnya balik kepada pemilik spyware tersebut. Spyware adalah punca nombor satu komputer menjadi perlahan dan lembap. Kebanyakan perisian anti-virus tidak mengesan spyware dan oleh itu adalah penting untuk memasang program anti-spyware yang khusus.

4. Memasang dan Membuang Program Sewenang - Wenangnya
Ramai pengguna amat gemar memasang berbagai jenis perisian freeware dan shareware yang dimuat turun dari Internet. Tidak kurang juga yang membeli perisian – perisian cetak rompak dari pusat membeli belah. Sesetengah orang berpendapat lebih banyak perisian dimuatkan ke dalam komputer, maka lebih canggih dan berkuasalah komputer mereka.

Hakikatnya adalah semakin banyak perisian yang anda pasang, semakin besarlah risiko komputer anda dijangkiti virus atau spyware yang akan merosakkan sistem anda. Risikonya adalah lebih besar jika perisian dimuat turun dari laman – laman web yang dicurigai

Semakin banyak perisian yang dipasang dan dibuang secara berulang akan memperlahankan atau merosakkan sistem komputer anda. Pembuangan program tidak semestinya membuang perisian tersebut secara menyeluruh dan juga tidak membuang sebarang virus dan spyware yang ditanam olehnya. Akibatnya prestasi komputer anda tetap semakin perlahan.

Anda seharusnya hanya memasang perisian yang betul-betul anda perlukan. Anda juga seharusnya mengurangkan pemasangan dan pembuangan program.

5. Menyimpan cakera keras yang penuh.

Antara kesan pemasangan perisian yang tidak dipantau adalah ia akan memenuhi cakera keras anda. Setiap komputer dibekalkan dengan cakera keras yang mempunyai kapasiti atau muatan ruang bebas atau free space yang terhad. Setiap kali perisian dipasang, fail dimasukkan ke dalam cakera keras. Fail memenuhi ruang bebas cakera. Akibat dari ini kapasiti ruang bebas cakera berkurangan. Jika ini tidak dikawal, lambat – laun komputer anda akan menjadi perlahan. Anda sepatutnya memastikan ruang bebas cakera keras anda tidak menurun kurang dari 10% dari kapasiti asalnya. Ini bermakna jika cakera keras anda adalah 200GB, ruang bebas tidak harus dibenarkan jatuh ke bawah paras 20GB.

Anda boleh menggunakan perisian “disk defragmenter” yang dibina ke dalam Windows  (Programs/Accessories/System Tools) ataupun perisian lain. Anda juga boleh gunakan program “Disk Cleanup” yang terdapat di dalam Windows untuk mencari dan membersihkan fail – fail yang tidak diperlukan dalam komputer anda dan mendapat kembali ruang bebas cakera.

6. Membuka kesemua lampiran.

Kebanyakan pengguna suka membuka lampiran-lampiran yang dihantar melalui e-mel tanpa meghiraukan bahawa lampiran tersebut kemungkinan besarnya mengandungi virus yang boleh memadamkan kesemua data yang terkandung di dalam cakera keras.
Antara lampiran yang paling berbahaya adalah lampiran yang mempunyai sambungan seperti – exe, cmd dan macam – macam lagi. Dahulunya kita berasa bahawa fail Microsoft Word dan grafik yang didapati melalui e-mel adalah selamat, tetapi malangnya tidak lagi. Satu fail seperti greatfile .jpg .exe mungkin disangkakan hanyalah gambar grafik atau foto oleh kebanyakkan pengguna. Hakikatnya ialah ianya adalah satu program yang mungkin mengandungi virus, trojan atau worm.

7. Klik segala-galanya.

Jika anda jenis orang yang suka klik kesemua benda yang boleh diklik, anda seharusnya memberhentikan tabiat tersebut. Ini kerana lampiran atau link yang diklik mungkin mengandungi kod Active X yang merupakan perisian yang boleh merosakkan sistem anda.

Jika anda tertekan link yang salah ia mungkin membawa anda ke laman web yang mengandungi usur lucah, cetak rompak dan berbagai lagi yang boleh mengundang masalah buat anda.

8. Berkongsi fail

Kita dididik dari kecil bahawa amalan berkongsi itu adalah baik. Namun dalam dunia kini, bukan semua jenis perkongsian itu adalah baik. Dalam alam siber, berkongsi maklumat peribadi seperti nama, e-mel, alamat rumah, nombor telefon dan lebih teruk lagi nombor pin akuan bank serta kad kredit boleh menyebabkan anda jadi muflis! Semua bentuk maklumat peribadi – termasuk fail dokumen peribadi dan kerja anda – hanya harus dikongsi dengan mereka yang anda benar – benar anda percaya dan ada keperluan berbuat demikian.

Walaupun kebanyakan jenis maklumat yang "dicuri" dari komputer sebenarnya diberikan secara "sukarela" oleh pengguna yang kurang arif berkenaan keselamatan on-line, namun ada juga maklumat yang dicuri oleh penggodam atau "hackers" tanpa disedari oleh pengguna. Cara terbaik untuk menghidari dari masalah ini adalah dengan memasang perisian Firewall. Perisian Firewall boleh mencegah hackers dari menyambung kepada komputer anda dan mendapat akses kepada maklumat di dalamnya.

9. Memilih kata laluan yang salah.

Ini merupakan satu kesilapan yang kerap dilakukan. Apabila menetapkan katalaluan atau password untuk apa jua tujuan, jangan memilih kata laluan yang mudah seperti hari jadi, no KP ataupun nama orang yang tercinta. Kata laluan seharusnya panjang sehingga 14 aksara dan mengandungi campuran huruf dan nombor. Tidak ada salahnya anda menggunakan satu atau dua katalaluan sahaja untuk semua tujuan – asalkan anda boleh mengingatnya dan ianya tidak mudah diteka. Akhirnya janganlah buat katalaluan begitu rumit atau "canggih" sehinggakan anda sendiri pun tidak dapat mengingatinya!

10. Tidak membuat fail salinan sandar.(backup file)

Malang tidak berbau. Komputer, seperti juga mesin – mesin yang lain akan satu hari rosak juga. Jika kerosakan ini melibatkan cakera keras, ia boleh menyebabkan anda mengalami kehilangan data atau maklumat secara kekal. Walaupun kebanyakan pengguna tidak banyak menjana data atau maklumat peribadi, namun bagi segelintir yang aktif menggunakan komputer untuk tujuan kerjaya dan pendidikan, kehilangan data peribadi yang kekal ini boleh diibaratkan satu malapetaka yang besar. Komputer boleh diperbaiki dan jika perlu digantikan dengan yang baru. Segala perisian boleh diisi semula dari CD-ROM atau dimuat-turun dari Internet. Namun tidak ada sebarang cara untuk anda mendapatkan semula data peribadi anda sekiranya sudah hilang atau rosak secara kekal. Dalam keadaan ini hanya satu perkara sahaja yang boleh menyelamatkan anda – data peribadi yang sudah disandarkan atau backup.

Membuat salinan sandar atau backup copy fail – fail peribadi merupakan aspek penggunaan komputer yang paling kerap diabaikan – dan seringkali pengguna terpaksa menanggung kos tinggi untuk kecuaian ini. Dahulunya proses membuat salinan sandar atau backup ini mungkin mahal dan mengambil masa yang lama, namun kini ianya sungguh mudah sekali. Bagi kebanyakan pengguna peralatan thumb drive sudah memadai untuk memuatkan salinan segala data peribadi. Ada juga pengguna yang menggunakan dua thumb drive – satu sebagai media storan utama dan yang kedua sebagai media storan sandaran atau backup copy.


Jadi jika anda ada menghasilkan maklumat atau data penting, pastikan anda menyimpan salinan sandarnya. Ianya boleh menjadi penyelamat tatkala mesin anda dilanda kerosakkan serius.


sumber: http://www.pcdotcom.my/2012/04/10-punca-komputer-rosak.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan